Ramadhan 1431H semakin melabuhkan tirai. Tinggal beberapa hari lagi untuk umat Islam menyambut hari raya.

Menjadi kebiasaan, jualan murah ada di mana-mana. Tidak kira, daripada perhiasan atas kepala hingga kaki, kuih-muih, semua tidak lekang daripada menerima kunjungan ribuan manusia di setiap pasaraya.

Pasaraya Sogo umpamanya, bilangan manusia yang ada melebihi longgokan baju yang dijual. Mahu mencuba baju di bilik persalinan pun kena beratur. Tidak termasuk lagi bilangan manusia yang beratur membayar di kaunter.




Beli Tanpa Perlu Wang

Tidak salah membuat persiapan untuk menyambut Aidilfitri. Bergembiralah.

Imam Syafie pernah berkata: “Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimiliknya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat,dua hari raya ( Aidilfitri dan Aidiladha ). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.”

Namun, apa yang dikesalkan. Seramai pengunjung di Sogo jauh berbeza umat Islam yang mendirikan solat di masjid. Silakan membeli di Sogo. Tetapi membeli jugalah pahala yang dijanjikan Allah. Beli yang tidak perlukan wang.

Pengalaman saya sendiri, hari pertama puasa. Solat tarawih di Masjid Saidina Uthman. Penuh muslimim muslimat. Syukur, alhamdulillah.Dari hari ke hari, situasi bertambah saf kosong mula berlaku. Dahulunya kereta terpaksa diletak di luar kawasan masjid kerana penuh tempat parking, tetapi sekarang banyak tempat kosong.



Iman vs Nafsu

Promosi dunia dikejar. Tetapi janji promosi Rabul Izati dilupakan. Hati kalah pada nafsu. Begitu banyak fadilat Ramadhan dijanjikan, tidak sedikit pun memberi apa-apa rasa pada manusia.

Ubadah Bin Somit ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadhan hampir menjelang: "Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini."

Tidak susah ke masjid. Beribadat tidak memerlukan wang sepertimana di pasar raya. Tambahan, ada moreh disediakan untuk para jemaah. Percuma. Tapi, kerana mata hati telah tertutup dek ketamakan nafsu, masjid-masjid dibiarkan kosong.

Fasa Terakhir : Ayuh Buat Pecutan

Sepertimana pelari 100 meter, dia akan memecut apabila semakin hampir ke garisan penamat. Begitu juga Ramadhan. Malam-malam terakhir harus digunakan sebaik mungkin.



Banyak masjid-masjid yang membuat qiamullail. Carilah malam Lailatul Qadar. Itulah sebaik-baik promosi hebat dan jualan murah untuk ummat Muhammad.

Tidak usah membuat perkiraan. Lailatul Qadar jatuh pada hari sekian-sekian. Siapa kita untuk menentukan semua itu. Beribadatlah sepanjang malam. Nescaya kita pasti tidak akan terlepas anugerah Allah pada umat Muhammad.




Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Barang siapa mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keinsafan, diampunkan oleh Allah baginya dosa-dosa yang telah lalu”

Penutup : Tuhanku Allah

Jangan menjadi hamba Ramadhan. Hanya beramal pada bulan Ramadhan sahaja. Seolah-olah Ramadhan itu Tuhan kita, dan bukannya Allah s.w.t.

Dalam bulan Ramadhan, kaki sanggup bertahan solat tarawih 20 rakaat. Luar Ramadhan, solat fardhu pun dilengah-lengahkan.

Ramadhan hanyalah medan untuk kita merebut nilai taqwa. Nilai taqwa yang akan dipegang kuat untuk medan-medan bulan yang lain. Kerana Ramadhan, kita hanya berperang dengan nafsu, dan tiada lagi pesaing laknatullah, iaitu syaitan!