Perkahwinan Memberikan Ketenangan,Perisai Keimanan

Menurut Saidina Abbas r.a, bahawa tidak sempurna ibadat seseorang kecuali apabila ia sudah berkahwin. Mengapa Saidina Abbas r.a meletakkan perkahwinan batu asas dalam menyempurnakan ibadat?

Yang dimaksudkan oleh Saidina Abbas iaitu tidak tenang hati seorang hendak beribadat kepada Allah SWT kerana dorongan syahwat, kecuali setelah ia berkahwin. Walaupun seseorang itu kuat melakukan ibadat, contohnya seorang tok lebai yang masih bujang yang baik budi pekertinya dan berakhlak mulia, namun ia terpaksa mengakui keperluan yang telah ditakdirkan oleh Allah SWT dari segi nafsu syahwat, maka kedudukannya sebagai tok lebai itu belum boleh menjadi suatu jaminan melainkan ia kembali ke fitrahnya yang semula jadi itu untuk berkahwin.

Sejujurnya, besarnya nikmat berkahwin itu kami rasa adalah kerana ketenangan.



Tenang dalam terhindar daripada jurang maksiat. Bahkan dalam kemesraan dan keintiman bersama, ada redha Allah dan doa para malaikat mengiringi.

“Sesungguhnya, apabila seorang suami memandang isterinya (dengan kasih & sayang) dan isterinya juga memandang suaminya (dengan kasih & sayang), maka Allah akan memandang keduanya dengan pandangan kasih & sayang. Dan apabila seorang suami memegangi jemari isterinya (dengan kasih & sayang) maka berjatuhanlah dosa-dosa dari segala jemari keduanya” (HR. Abu Sa’id).

Besarnya ganjaran yang Allah berikan kepada mereka yang berkasih sayang atas ikatan perkahwinan. Tetapi, perkara sebaliknya yang berlaku. Mereka yang bercinta monyet itulah yang terkinja-kinja bersemadi jari-jemari mereka.

Daripada satu hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Majah menyatakan bahawa “ Bergomolan dengan khinzir itu adalah lebih baik berbanding dengan bersentuhan (secara sengaja) dengan wanita yang bukan mahram.”

Darjat Dilipatgandakan

Perkahwinan juga merupakan batu loncatan untuk sama-sama lebih merebutkan gandaan pahala di sisi Allah. Bagaimana?

“Barangsiapa menikah, maka ia telah melengkapi separuh dari agamanya. Dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah dalam memelihara yang separuhnya lagi”. (Hadist Riwayat Thabrani dan Hakim).

“Shalat 2 rakaat yang diamalkan orang yang sudah berkeluarga lebih baik, daripada 70 rakaat yang diamalkan oleh jejaka (atau perawan)” (HR. Ibnu Ady dalam kitab Al Kamil dari Abu Hurairah).

Subhanallah. Begitu besar ganjaran Allah berikan kepada yang sudah berumah tangga. Kalau solat raakat sahaja sudah dilipatgandakan, apatah lagi solat berjemaah, terutamanya bersama pasangan masing-masing.

Inilah yang selalu dilupakan masyarakat hari ini. Walaupun tinggal berasingan di kolej, kami tetap berkesempatan untuk sama-sama mendirikan solat berjemaah bersama-sama terutamanya di hujung minggu. Alhamdulillah. Semoga usaha kami ini diterima Allah s.w.t.

Nak Romantis Macam Baginda

Suami isteri, manisnya cuma setahun dua. Perkahwinan itu akan terasa manisnya andai dapat mencontohi manusia teragung sepanjang zaman, Nabi Muhammad s.a.w. Baginda sangat romantis pada isteri-isterinya.



Disisir rambut isteri, memanggil dengan panggilan manja, minum bergantian di tempat yang sama. Semua itu perlakuan Nabi.

Andai pasangan ada langkah sama mengikutinya, bukankah itu sudah dikira mengikuti sunnah Nabi. Sudahlah sunah Nabi dituruti, pasti perkahwinan juga akan terasa manis waima sudah bertahun-tahun menyelami bahtera pernikahan.

Berkahwinlah Kerana Tuhan



Usah dikejar cinta atau perkahwinan yang hanya berlandaskan kecantikan dan nafsu. Iringilah matlamat perkahwinan itu kerana Allah. Pasti niat baik akan turut selari dengan perlakuan yang murni.

Nikah kahwin yang dimulakan dengan niat yang baik, atas nama Tuhan, kerana Tuhan dan untuk Tuhan, perkahwinan itu akan diberkati oleh Tuhan atas sebab perkahwinan itu adalah perkara besar mengikut Tuhan!